Wednesday, August 24, 2011

Kenapa bulan Ramadan mulia?

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramai yang mengatakan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia. Mulia? Sebab apa? Jawapan yang seringkali dilontarkan; mulia kerana berpuasa. Tidak sebenarnya. Walhal bulan Ramadan sangat mulia disebabkan oleh al-Quran kalam Allah. Kenapa al-Quran? Bulan Ramadan dipilih oleh Allah untuk diturunkan al-quran padanya. Maka Ramadan menjadi mulia kerana al-Quran merupakan kitab hidayah petunjuk serta bacaan yang bermanfaat kepada seluruh ciptaan khususnya manusia.


Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang berbunyi:


"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk kepada sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)"


MashaAllah. Tinggi sungguh nilai senaskhah al-Quran. Terkadang hamba alpa dengan urusan duniawi sehingga lupa menjadikan kitab suci ini sebagai zikir terbaik di sisi Ilahi.

Sedih berbaur penyesalan yang mendalam apabila mengenangkan suatu hadis yang menyatakan bahawa apabila tiba 10 Ramadan terakhir, Rasulullah s.a.w. menangis dan bersiap-siap untuk beribadah dan menghidupkan malam sedangkan aku sibuk menguruskan hal-hal dunia semata. Seandainya Rasulullah s.a.w. melihat keadaan generasi kini yang sebilangannya ada yang meremeh dan mempersiakan bulan mulia ini, pasti baginda menangis. Walaupun tidak pernah bertemu, rasa rindu pada baginda sentiasa mekar di hati. Tetapi layakkah aku untuk bertemu dengannya?

Malaikat-malaikat turun ke dunia mengirimkan doa-doa manusia ke langit untuk dimakbulkan terus oleh pencipta sekalian alam; Allah SWT. Dasyat sungguh kejadian ini yang sukar dibayangkan oleh fikiran manusia. Hanya teguhkan iman, dan istiqamah dalam beribadah.


Sudah dua malam hamba berasa sedih dan sayu di hati. Mengenangkan segala kekhilafan yang telah dilakukan sepanjang nyawa dipinjam. Terasa kotor hati ini yang payah disucikan kembali. Astaghfirullah. Terimalah taubatku ini ya Rabbi. Sesungguhnya pintu taubatMu masih terbuka buat hamba yang hina ini.

Lama sungguh hati ini tidak mendapat pengisian rohani. Mudahnya iman goyah. Ayuh kuat kembali. Bangkitkan usaha.


1 comment: